Search

86 PATI ditahan dalam operasi Imigresen di Tawau

December 6, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi berasingan di daerah ini yang dijalankan pada 3 Disember hingga semalam.

Tangkapan itu hasil risikan selama kira-kira seminggu serta maklumat awam berhubung pergerakan warga asing mencurigakan di daerah berkenaan.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah pada Sabtu, operasi terbabit melibatkan 36 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Tawau dan Depot Imigresen Tawau.

“Seramai 200 individu diperiksa dan 86 daripadanya majoriti warga Filipina dan Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah, selain disyaki melanggar pelbagai peraturan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua PATI yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

JIM Sabah menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI, sambil menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu mengekang kemasukan warga asing tanpa izin di negeri ini.

“Selain itu, tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang khususnya yang membabitkan isu keselamatan,” katanya. – Info X