Search

Pekerja pencuci kereta ditahan, disyaki cabul penuntut wanita

December 6, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang pekerja pencuci kereta ditahan polis pada Khamis lalu, selepas disyaki mencabul seorang penuntut wanita yang dikenalinya melalui aplikasi TikTok dalam kejadian di PPRT Sri Apas Balung, bulan lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 21 tahun mendakwa suspek memeluk serta meraba bahagian badannya sebelum mengugut akan melakukan perbuatan lebih buruk jika dia tidak menurut kehendaknya.

Bimbang dengan ugutan itu, mangsa kemudian melarikan diri sebelum tampil membuat laporan polis kerana takut keselamatan dirinya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan dibuat mangsa, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau menjalankan operasi mengesan suspek.

“Hasil risikan, suspek warga asing berusia lingkungan 20-an itu berjaya ditahan di kawasan Batu 3, Jalan Apas kira-kira jam 11 malam.

“Suspek kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Jasmin berkata pihaknya memandang serius kesalahan yang mengancam keselamatan wanita dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba melakukan jenayah seumpama itu.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika berinteraksi di media sosial serta segera membuat laporan jika berdepan ancaman atau melihat aktiviti mencurigakan di kawasan mereka. – Info X