KOTA KINABALU: Bekas Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai satu kehilangan kepada arena bola sepak Sabah.
Beliau berkata, arwah amat mengambil berat kebajikan pemain dan jurulatih serta semua yang berada dalam pasukan ketika menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebelum ini.
Katanya, Bung Moktar juga adalah orang bertanggungjawab yang membawanya kembali ke Sabah bagi mengetuai Sabah FC pada 2021 setelah pernah bermain untuk pasukan negeri itu sebelum ini.
“Salah satu faktor kenapa saya kembali semula selepas bermain untuk Sabah, sudah tentu Allahyarham Datuk Seri Bung membawa saya kembali ke Sabah untuk berkhidmat di bawah beliau.
“Bagi saya, beliau adalah seorang pejuang, seorang pemimpin dan daripada situ, saya mendapat satu hubungan yang cukup baik bersama Datuk Bung.
“Saya pasti ini adalah satu kehilangan besar, bukan saja untuk rakyat Sabah tetapi dalam bidang bola sepak dengan apa juga yang dilakukan oleh Datuk Bung sebelum ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas memberi penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Bung Moktar di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, pada Jumaat.
Kim Swee dibawa masuk sebagai pengendali Sabah FC bagi menggantikan ketua jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulionto pada 2021 ketika Bung Moktar menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Mengimbau ketika Sabah FC di bawah Bung Moktar, Kim Swee yang kini dilantik sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), berkata Ahli Parlimen Kinabatangan itu memberi sepenuh kepercayaan kepadanya untuk memimpin kelab berkenaan.
Katanya, kepercayaan diberikan Bung Moktar memberinya semangat untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah FC dan membawa sesuatu yang boleh dibanggakan peminat serta penyokong bola sepak di Sabah.
“Kita tidak memenangi sebarang kejuaraan tetapi beliau mempercayai saya 100 peratus. Apabila kita mempunyai seorang pemimpin yang memberi kepercayaan dan berjaya membawa sesuatu yang baik sama ada dalam bidang sukan mahupun apa bidang sekalipun, itu adalah kejayaan.
“Ini membuktikan Datuk Bung tidak masuk campur dengan hal-hal yang lain, tetapi memastikan kebajikan pemain, jurulatih ketika saya bersama Sabah, di mana beliau tetap memikirkan perkara yang terbaik untuk sesiapa yang berada dalam pasukan,” katanya. – Info X