Search

86 resort, premis pelancongan di Semporna beroperasi tidak sah

February 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 86 premis pelancongan dan resort yang beroperasi di Semporna dikesan berdepan pelbagai isu pematuhan syarat operasi termasuk tiada sijil menduduki (OC).

Perkara itu didedahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, jumlah itu berdasarkan rekod semasa yang dimaklumkan kepada beliau ketika mempengerusikan mesyuarat Task Force di Majlis Daerah Semporna pada Khamis.

Mesyuarat itu katanya untuk meneliti status penguatkuasaan terkini, cabaran pematuhan dan tindakan segera yang diperlukan untuk menangani operasi pelancongan tanpa lesen di Semporna.

“Berdasarkan rekod semasa, sebanyak 190 premis pelancongan dikenal pasti beroperasi, bagaimanapun hanya 45 premis mempunyai lesen yang sah.

“Sebanyak 59 premis pula masih dalam proses kelulusan dan 86 premis didapati tidak mengambil apa-apa inisiatif atau berdepan pelbagai isu pematuhan.

“Isu utama yang dikenal pasti termasuk gagal mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Menduduki (OC), selain isu yang berkaitan dengan status tanah,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata kementeriannya mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghentikan pengeluaran lesen sementara kepada mana-mana premis yang tidak mematuhi syarat sedia ada.

Pada masa sama, katanya tindakan tegas, termasuk pemberhentian operasi akan diambil terhadap premis yang terus beroperasi tanpa pematuhan yang sah.

“Pihak kementerian memberikan tambahan tempoh tiga bulan kepada operator untuk memohon lesen sejak pembentukan Task Force pada akhir Disember lalu.

“Dengan kurang daripada dua bulan tempoh ditetapkan, saya menggesa operator pelancongan untuk mengambil tindakan segera dan mematuhi peraturan serta undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan pengunjung dan integriti industri pelancongan,” katanya.

Langkah itu, katanya penting untuk meningkatkan piawaian keselamatan, pematuhan peraturan, kemapanan alam sekitar dan imej pelancongan Sabah.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membahayakan keselamatan pelancong atau reputasi industri pelancongan negeri.

“Kementerian saya bersama dengan agensi berkaitan yang lain akan terus menguatkan koordinasi penguatkuasaan sambil membantu operator untuk mematuhi peraturan bagi memastikan industri pelancongan Semporna terus berkembang secara teratur, bertanggungjawab dan mampan,” katanya. – Info X