Search

Inisiatif Kebun Dapur dilancar di Tuaran Ahad ini

February 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Inisiatif Kebun Dapur di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri akan dilancarkan di Padang Istiadat Pekan Tuaran, pada Ahad ini.

Pelancaran program itu yang akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dimaklumkan menterinya, Datuk Jamawi Jaafar pada Khamis.

Beliau menyatakan perkara itu ketika ditemuramah deejay KupiKupi FM ketika segmen Morning Kinabalu bersama Felix dan Dee Dee pada Khamis.

Jamawi berkata, inisiatif itu dijangka disertai kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR) yang bakal melaksanakan inisiatif Kebun Dapur sebagai antara usaha kerajaan bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Katanya, inisiatif itu juga disasar untuk memperkasa ekonomi isi rumah menerusi pengeluaran makanan sendiri di peringkat komuniti.

“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Sabah supaya memanfaatkan ruang di sekeliling rumah bagi aktiviti bercucuk tanam dan penternakan berskala kecil, di samping memelihara ternakan seperti ayam, itik atau ikan sekiranya mempunyai ruang.

“Kita menyasarkan penyertaan 5,000 KIR di seluruh negeri pada tahun ini, namun penglibatan rakyat dijangka melebihi sasaran ditetapkan,” katanya.

Jamawi berkata, Inisiatif Kebun Dapur dilaksanakan di bawah program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar dengan memanfaatkan halaman rumah, kawasan lapang dan bekas terpakai bagi aktiviti pertanian berskala kecil.

Kebun Dapur katanya, merangkumi subsektor tanaman, perikanan dan ternakan, selain menggalakkan penggunaan teknologi pertanian moden bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta keterjaminan makanan.

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif itu mengambil kira pelbagai keadaan kediaman rakyat dengan penyediaan beberapa model kebun dapur yang bersesuaian, sama ada bagi rumah yang mempunyai ruang terhad mahupun kawasan yang lebih luas dan akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini.

Jamawi berkata, kerajaan negeri turut merancang penganjuran jelajah ke semua kawasan Parlimen di Sabah bagi mempromosikan inisiatif berkenaan untuk memudahkan rakyat mendapatkan bahan tanaman dan ternakan melalui agensi berkaitan.

“Agensi seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Ko-Nelayan, SAFMA dan Lembaga Industri Getah bukan saja terlibat dalam penjualan input pertanian, malah memberi tunjuk ajar secara langsung kepada rakyat mengenai kaedah penanaman dan penternakan,” katanya.

Katanya, pendekatan rantaian lengkap itu diyakini dapat membantu meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) negeri Sabah, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi Sabah secara mampan. – Info X