PUTATAN: Sambutan Tahun Baharu Cina wajar menjadi wadah terbaik kepada semua lapisan masyarakat bagi mendalami kepelbagaian budaya dan mengeratkan silaturahim.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata sambutan diraikan masyarakat Cina itu juga menjadi simbolik perpaduan di Sabah yang terkenal dengan keharmonian kaum.
Katanya, asas perpaduan itu boleh dijadikan pemangkin kemajuan negeri sejajar hasrat kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam melaksanakan aspirasi hala tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

“Sudah tentu dengan adanya perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan oleh masyarakat Cina di Sabah memberikan gambaran kepada nilai perpaduan kepada kita di negeri ini.
“Seperti di Putatan ini, kita sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan kepada semua lapisan kaum baik bumiputera mahupun masyarakat Tiong Hua, tiada yang ketinggalan.
“Satu daripada agenda utama hala tuju SMJ 2.0 adalah agenda membangunkan sumber manusia secara berterusan, jadi ini menunjukkan begitu menitikberatkan pembangunan sumber manusia melalui pendidikan dan melalui pelbagai latihan secara berterusan,” katanya.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) berkata demikian selepas merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina 2026 SJKC Hwa Shiong, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Presiden Gabungan Dewan Perniagaan Tionghua Sabah (SUCCC), Datuk Micheal Lui Yen Sang; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Hwa Shiong Putatan, Chung Wan Kiong dan Guru Besar SJKC Hwa Shiong Putatan, Chung Tek Fei.

Mengulas mengenai program itu, Shahelmey berkata, kesinambungan sumbangan komuniti menjadi teras ikatan kepelbagaian kaum di Putatan melalui aspek pendidikan.
“Saya menerima maklumat bahawa jumlah pelajar yang ada di sekolah ini dipelopori oleh anak-anak Bumiputera Sabah dan hanya 10 peratus sahaja terdiri daripada anak-anak masyarakat Cina.
“Perkembangan ini adalah perkembangan positif yang membuktikan bahawa keluarga Bumiputera sedar kepentingan mendapat pendidikan aliran Cina ini, kelebihan-kelebihan yang dapat diterima murid ini,” katanya. – Info X