SEMPORNA: Sembilan termasuk tiga kanak-kanak selamat selepas bot nelayan dinaiki mereka karam dipukul ombak di kawasan perairan Pulau Tobo-Tobo, di sini, hari ini.
Mereka yang selamat Mohammad Maleh Muhammad Husin, 43, Norfidah Safri, 43, Nurul Qasibah Mohammad Maleh, 18, Justina Buglayan, 41, Hasalinah Buglayan, 37, Sahura Safri, 39.
Manakala tiga kanak-kanak iaitu Mohammad Irman Elman, 2, Nurul Wafiyyah Jasimu, 5, dan Nur Khayla Abdullah, 2.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.45 petang.
Katanya, sepasukan bomba menggunakan bot kevlar digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, bot nelayan karam akibat dipukul ombak dan terdapat sembilan individu diselamatkan oleh pasukan bomba dan dinaikkan ke bot kevlar bomba.
“Semua mangsa dilaporkan selamat dan seterusnya dihantar ke Pulau Sumandeh untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada 4.48 petang. – Info X