BEAUFORT: Sembilan sekolah di sini, terpaksa ditutup pada Khamis akibat terjejas banjir dalam kejadian terkini bencana itu yang bermula sejak Rabu.
Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Dr Raisin Saidin, berkata daripada jumlah itu, lapan sekolah ditutup selepas kawasan sekolah dinaiki air, manakala sebuah sekolah ditutup kerana jalan masuk tidak dapat dilalui.
Katanya, lapan sekolah terjejas banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Baru, SK Suasa, SK Lago, SK Mempagar, SK Batu 60, SK Kabajang, SK Jabang dan Sekolah Menengah (SM) St Paul.
“Sebanyak lapan sekolah terbabit dengan banjir, manakala satu sekolah tidak terbabit banjir tetapi tidak beroperasi kerana laluan banjir, iaitu SK Lupak.
“Secara keseluruhan, sebanyak sembilan sekolah ditutup akibat banjir pada hari ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Sementara itu, katanya Jabatan Pendidikan terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) bagi membawa pengawas peperiksaan yang terbabit dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ulangan.
Katanya, ia berikutan laluan ke sebuah sekolah yang menjadi pusat peperiksaan, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, terjejas akibat banjir.
Ia banjir kedua dalam tempoh sebulan melanda daerah ini hingga menyebabkan penutupan beberapa sekolah yang turut terjejas akibat bencana berkenaan.
Sebelum ini, tujuh sekolah di daerah ini ditutup pada hari pertama sesi persekolahan 2026, iaitu pada 12 Januari lalu. – Info X