KOTA KINABALU: Seramai 909 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia dihantar pulang ke negara asal masing-masing menerusi dua program pemindahan tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 802 warga Filipina dihantar pulang menggunakan kapal MV Antonia 1 dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Semua tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar itu terdiri daripada 501 lelaki dewasa, 127 wanita dewasa serta 174 kanak-kanak berusia antara sebulan hingga 74 tahun.

Dalam operasi berasingan, seramai 107 warga Indonesia dari Depot Imigresen Tawau turut dihantar pulang melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan menggunakan feri komersial.
Mereka terdiri daripada 76 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa serta lapan kanak-kanak.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, pemindahan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang dihantar pulang ke negara asal masing-masing setakat 5 November tahun ini seramai 8,405 orang.
Katanya, jumlah berkenaan membabitkan 6,165 warga Filipina, Indonesia (1,896), China (142), Pakistan (139), Vietnam (29) dan 34 warga negara lain.

“Semua tahanan yang dihantar pulang sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta mempunyai dokumen perjalanan sah bagi membolehkan proses pemindahan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sitti Saleha berkata, JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa permit dan dokumen sah.
Katanya, majikan yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan tertakluk kepada kesalahan yang dilakukan.
“JIM Sabah turut menggalakkan majikan menyertai program pendataan digital warga asing yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah.
“Langkah itu penting bagi membantu merekod dan mengurus keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan,” katanya. – Info X