KOTA KINABALU: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau, semalam, menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Semua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Papar ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan kapal Labuan Express dalam operasi terkawal yang diselaraskan bersama pihak berkuasa berkaitan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kumpulan berkenaan terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 23 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara setahun hingga 57 tahun.
“Kanak-kanak yang dihantar pulang turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses penghantaran semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini seramai 1,847 warga Indonesia telah dihantar pulang sepanjang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan tahanan asing yang dipindahkan dari Sabah kepada 9,059 orang.
“Semua tahanan terbabit telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan memiliki Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah bagi membolehkan proses penghantaran dilakukan,” katanya.

Katanya lagi, kekerapan program pemindahan tahanan ke negara asal tertakluk kepada tempoh masa pengeluaran SPLP oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Sabah.
Dalam masa sama, Sitti Saleha menyeru majikan supaya mengambil bahagian dalam program pendataan digital warga asing yang sedang dijalankan kerajaan negeri bagi merekod keberadaan pekerja asing, khususnya dalam sektor perladangan.
“Inisiatif ini dapat mengekang masalah dokumentasi bercelaru serta lambakan PATI di Sabah.
“Majikan yang melindungi atau menggaji pekerja tanpa dokumen sah akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi di bawah Akta Imigresen 1959/63,” tegasnya.
Tambahnya, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, hukuman penjara, atau sebatan jika didapati bersubahat melindungi pendatang tanpa izin. – Info X