Search

PRU Sabah: DAP, BN, PKR umum calon Sabtu dan Ahad, PN, Warisan, GRS, KDM minggu depan

November 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 kini di peringkat akhir memilih calon sebelum hari penamaan calon pada 15 November ini.

Sebahagian parti sudah selesai menentukan calon dan kerusi yang akan ditandingi dengan DAP antara terawal membuat pengumuman calon yang dijadualkan esok di Magellan Sutera, di sini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dijangka mengumumkan calon mewakili DAP yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan melancarkan jentera pilihan raya parti itu.

Pada Ahad pula, Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan senarai calon dan kerusi yang akan ditandingi, dijadual disempurnakan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengumuman yang diadakan di Pacific Sutera itu bermula jam 4 petang itu dibuat serentak dengan pelancaran jentera pilihan raya BN.

Sesudah itu, pada sebelah malam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengumumkan calon PH mewakili PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Sementara itu, minggu depan, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan dijangka membuat pengumuman calon pada 11 November, diikuti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 12 November.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dijadual mengumumkan calon dan senarai kerusi ditandingi semua parti komponen GRS di SICC.

Sebelum itu, pada Isnin, 10 November, Parti Impian Sabah turut dijadual mengumumkan senarai calon parti itu, manakala Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) difahamkan akan membuat pengumuman calon pada 13 November.

Semua parti perlu menyiapkan senarai calon masing-masing pada minggu depan berikutan tarikh penamaan calon dijadual pada Sabtu depan, 15 November. – Info X