Search

945 liter petrol bersubsidi dirampas

October 8, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 945 liter petrol bersubsidi yang disembunyikan dalam 30 tong selepas menyerbu sebuah premis tidak bernombor di atas air di Kampung Tinusa, di sini, tengah malam tadi.

Dalam operasi jam 12.35 tengah malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam mengenai aktiviti pemunggahan tong jerrycan yang disyaki mengandungi petrol di kawasan berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, pasukan operasi digerakkan ke lokasi sebelum mengesan sebuah premis tidak bernombor di atas air.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 30 tong jerrycan di dalam premis berkenaan yang dipercayai mengandungi petrol.

“Keseluruhan petrol yang dirampas berjumlah 945 liter dengan anggaran nilai RM4,400,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Suhairy berkata, lelaki terbabit bersama semua barang kes kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan berjadual iaitu petrol bersubsidi tanpa permit atau kebenaran sah,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Op Sejahtera 1/2022, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara dan Op Tiris 4.0.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan, khususnya bahan api bersubsidi.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X