Search

Dua rumah musnah terbakar di Bongawan

October 8, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Dua rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Padang, Pekan Bongawan, di sini, tengah malam tadi.

Kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal seluas kira-kira 93 meter persegi dan sebuah rumah sewa separuh kekal seluas kira-kira 56 meter persegi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.41 tengah malam.

Katanya, enam anggota BBP Kimanis dibantu 11 anggota BBP Papar bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi.

“Pasukan tiba pada jam 12.56 tengah malam dan mendapati kedua-dua rumah separuh kekal terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 152 meter dengan dua pancutan, menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nelson berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.42 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

Katanya, operasi ditamatkan pada jam 3.10 pagi selepas kerja overhaul selesai dijalankan dan pasukan memastikan tiada bahaya lain di lokasi. – Info X