KOTA KINABALU: Sebanyak 95 taska tidak berdaftar dikesan beroperasi secara tidak sah di Sabah.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata sebahagiannya masih dalam proses permohonan dan menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Berikutan itu, beliau menyeru ibu bapa agar mengutamakan taska berdaftar bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.
Beliau turut menegaskan keperluan mendesak untuk menambah kapasiti penjagaan kanak-kanak di Sabah.
“Risiko penderaan kanak-kanak perlu ditangani secara menyeluruh kerana ia boleh berlaku di mana-mana, termasuk di rumah, namun taska berdaftar menawarkan lapisan perlindungan yang lebih baik melalui pemantauan dan penguatkuasaan pihak berkuasa.
“Penyelesaian perlu dicari untuk mengenal pasti punca berlakunya penderaan dan langkah pencegahan perlu terus diperkukuhkan.
“Pada masa sama, ibu bapa perlu sedar bahawa menghantar anak ke taska tidak berdaftar mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih besar kerana tiada pemantauan berkala dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Sambutan Hari Taska Peringkat Negeri Sabah di 1Borneo Hypermall, di sini, pada Ahad.
Turut hadir Presiden Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS), Ivy Benjamin Botingon.
Julita berkata, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di taska berdaftar kini menjadi antara elemen penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara.
Menurutnya, pemasangan CCTV menjadi syarat wajib bagi pendaftaran taska dan semua taska berdaftar perlu mematuhi keperluan itu.
Pada masa sama, Julita berkata Sabah berdepan cabaran kekurangan kemudahan penjagaan awal kanak-kanak berikutan hanya sekitar 230 taska berdaftar beroperasi di seluruh negeri ketika ini.
Beliau berkata berdasarkan unjuran penduduk, jumlah kanak-kanak berumur 0 hingga 4 tahun di Sabah dijangka mencecah 445,000 orang menjelang 2030, yang memerlukan kira-kira 110,000 tempat di taska bagi memenuhi permintaan.
“Pelaburan dalam pembangunan awal kanak-kanak bukan sahaja penting untuk kesejahteraan keluarga, malah menjadi pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan masa depan Sabah,” katanya. – Info X