KOTA KINABALU: Seorang lelaki tanpa dokumen dihukum penjara 35 tahun dan 15 sebatan selepas mengaku bersalah membunuh isterinya, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Arip Muktar, 31, membuat pengakuan itu ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di hadapan Hakim Datuk Celestina Stuel Galid pada Isnin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Arip didakwa membunuh Belnita Abdul Saleh di kuartes pekerja sebuah restoran di Jalan Pantai, di sini, antara jam 5 pagi hingga 8.30 pagi, 18 April 2023.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Hakim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikhnya ditangkap iaitu pada 18 April 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dana Arabi Wazani, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman.
Pada 18 April 2023, tertuduh bersama mangsa ditemui terbaring di bilik kuarters restoran dalam keadaan berlumuran darah selepas diperiksa seorang pekerja sebelum dimaklumkan kepada polis.
Di lokasi kejadian, mangsa disahkan sudah tidak bernyawa, manakala tertuduh masih bernyawa dengan kecederaan kelihatan di leher oleh pasukan perubatan.
Sebelum penemuan itu, tertuduh dipercayai bergaduh dengan mangsa berdasarkan bunyi jeritan dari bilik mereka didengar pekerja lain yang tinggal di bilik bersebelahan. – Info X