Search

Hospital Likas lakar sejarah pisahkan bayi kembar Siam dari pedalaman Sabah

July 7, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) atau Hospital Likas, di sini, melakar pencapaian bersejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan kembar Siam, prosedur membabitkan kembar Siam yang julung kali dilaksanakan di Sabah.

Menerusi satu kenyataan, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), berkata prosedur itu ialah Pembedahan Pemisahan Kembar Siam Pygopagus (Pygopagus Conjoined Twins) yang dilaksanakan di Dewan Bedah Utama HWKKS pada 2 Julai lalu.

Katanya, kembar siam Pygopagus merujuk kepada percantuman di bahagian tulang punggung ‘sacrum, neural tube’, bahagian bawah saluran pencernaan dan alat kelamin.

JKNS menyebut, pembedahan itu dilaksanakan terhadap pasangan kembar dari kawasan pedalaman Sabah, iaitu bayi perempuan pra-matang 32 minggu yang mana seorang daripadanya mengalami masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.

“Justeru, pembedahan pemisahan perlu dilakukan seawal umur 28 hari berbeza dengan pembedahan pemisahan yang biasanya dilakukan pada usia empat hingga enam bulan.

“Pembedahan ini dijayakan dengan kolaborasi pelbagai disiplin kepakaran termasuk pakar dari Semenanjung yang terdiri daripada pasukan Neonatologi, Anestesiologi, Pembedahan Pediatrik, Pembedahan Otak & Saraf Tulang Belakang, Neurosurgeri, Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Radiologi serta pasukan jururawat dan staf sokongan klinikal yang lain.

“Pasangan bayi kembar Siam ini telah berjaya dipisahkan dan kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemantauan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) HWKKS,” katanya.

JKNS berkata, kejayaan pembedahan itu mencerminkan dedikasi dan komitmen warga kerja HWKKS dalam menyediakan rawatan terbaik kepada pesakit kanak-kanak yang mengalami ‘Complex congenital anomalies’.

“Dengan adanya perluasan kepakaran khusus sebegini di negeri Sabah, kanak-kanak yang menghidap penyakit anomali kongenital kompleks dapat menerima akses rawatan dengan lebih cepat di samping mengurangkan beban emosi, kewangan dan logistik yang perlu ditanggung oleh keluarga,” katanya.- Info X