Search

Jangan keluar, berada di kawasan lapang ketika cuaca hujan, petir – polis

April 25, 2023

admin

PAPAR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di luar rumah terutama di kawasan lapang dalam keadaan cuaca hujan, kilat sabung-menyabung bagi mengelak terkena sambaran petir.

Ini susulan kejadian seorang remaja lelaki berusia 13 tahun meninggal dunia manakala rakannya juga berusia 13 tahun cedera dipanah petir di padang Pekan Papar, di sini, jam 4 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakannya di padang Pekan Papar bersebelahan Dewan Masyarakat Salleh Sulong.

Katanya, ketika bermain bola, keadaan cuaca hujan dan kilat berbunyi di udara dan secara tiba-tiba dipercayai mangsa disambar petir lalu jatuh terbaring di atas padang.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia serta merta di tempat kejadian. Seorang lagi rakan mangsa yang bermain bola sepak bersama mangsa turut disambar petir.

“Namun rakan mangsa cedera dan mendapat rawatan di Hospital Papar dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, setakat ini tidak ada sebarang unsur jenayah ke atas kematian mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dirujuk Jabatan Perubatan Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut dan sebab-sebab kematian masih belum diperolehi. Bedah siasat akan dijalankan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam insiden berlaku jam 3.55 petang itu, mangsa Muhammad Zulqilfle Redzwan, 13, yang juga OKU disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian manakala rakannya Assiy Qusyary, 13, dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas dipanah petir di padang Pekan Papar. – Info X