Search

Kandungan Whatsapp palsu mahu jatuhkan Shafie – Khairuddin

May 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Warisan, hari ini, menafikan sekeras-kerasnya kandungan tangkap layar perbualan aplikasi Whatsapp yang dimuatnaik sebuah portal di Laman Sosial Facebook, kononnya dikeluarkan presiden parti itu, Datuk Seri Shafie Apdal.

Dalam kandungan itu, penghantar maklumat yang tertera ‘DSSA ADMIN’ mengarahkan agar Ketua Penerangan Bahagian, blogger, aktivis dan pihak berkaitan agar memperhebat beberapa isu termasuk jalan raya, isu air serta masalah elektrik.

Arahan itu didakwa adalah bagi memanipulasi minda pembaca bahawa kerajaan GRS gagal dan membuat sentimen seolah-olah Sabah mempunyai masalah air dan elektrik.

Kandungan terbabit juga menunjukkan arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pusat.

Ketua Penerangan Wira Warisan Khairuddin Daud berkata, Warisan sendiri mahupun Shafie tidak pernah mewujudkan satu kumpulan di aplikasi terbabit yang didakwa sebagai kumpulan ‘cytro Warisan’.

“Segala kandungan yang tertera pada tangkap layar terbabit adalah bertujuan untuk menjatuhkan Shafie sebagai Presiden Warisan.

“Kandungan terbabit adalah tidak benar sama sekali dan Shafie tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian kepada semua ahli Warisan,” katanya semasa sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini.

Beliau berkata laporan polis dibuat berikutan perkara itu boleh menggugat keharmonian serta memberi imej buruk terhadap Warisan.

Tambahnya perkara ini juga sudah diutarakan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya termasuk pemantauan portal dan tindakan sewajarnya sekiranya perlu.

Terdahulu laporan sama turut dibuat oleh pihak Penerangan Wira Warisan Bahagian Kudat bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan pihak berkuasa. – Info X