KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat bergelar datuk kerana disyaki mengemukakan butiran matan palsu penyata penjualan emas.
Difahamkan, aktiviti kumpulan terbabit juga telah mengakibatkan kerugian pembayaran royalti berjumlah jutaan ringgit kepada Kerajaan Sabah.
Perintah tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu ke atas semua suspek selepas membenarkan permohonan reman yang dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi.

Menurut sumber, semua suspek iaitu lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 42 hingga 67 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Tawau, tengah malam tadi bagi membantu siasatan.
“Semua suspek termasuk seorang datuk dan tiga pengarah syarikat dipercayai memperdayakan jabatan kerajaan negeri dengan mengemukakan penyata penjualan emas yang mempunyai butiran palsu.
“Perbuatan itu dilakukan percayai untuk mengelak dan membayar royalti emas sebenar kepada Kerajaan Sabah terhadap hasil emas yang dilombong di sebuah kawasan di Tawau,” katanya di sini, hari ini.

Sumber berkata, syarikat milik datuk itu dipercayai memperdayakan jabatan kerajaan apabila tidak melaporkan penjualan emas ratusan kilogram bernilai puluhan juta yang sepatutnya menyumbang pembayaran royalti kepada Kerajaan Sabah.
“Penipuan dibuat melalui pakatan membabitkan dua syarikat yang mana semua suspek mempunyai kepentingan di dalamnnya,” katanya.

Difahamkan, 100 kilogram emas membabitkan nilai RM25 juta tidak dilaporkan penghasilannya yang sepatutnya menyumbang pembayaran royalti RM1.25 kepada kerajaan negeri Sabah bagi tempoh bermula 2020 hingga 2022.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Info X