Search

Seorang lagi pemilik syarikat ditahan, kemuka butiran palsu program Penjana bernilai RM570,000

May 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu borang pengesahan pekerja yang mengandungi senarai nama pekerja yang tidak wujud.Ia membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM570,000 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dibawah program Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, semalam ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan.

“Suspek merupakan pemilik syarikat penyedia perkhidmatan latihan dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu kira-kira lebih RM570,000 pada tahun 2020 sehingga 2022,” katanya, di sini.

Suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.

Majistret Stephanie Sherron Abbie membenarkan permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 21 Mei 2023.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Semalam di Mahkamah Majistret yang sama, dua individu dari syarikat yang berbeza direman selama lima hari kerana disyaki melakukan kesalahan yang sama membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM550,000. – Info X