Search

Warga asing rompak kedai emas di Tawau ditahan

May 22, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas merompak kedai emas di Jalan Dunlop, di sini, dengan bersenjatakan tukul pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, suspek menggunakan tukul besi memecahkan rak kaca di dalam premis berkenaan dan mengambil dua utas rantai emas (bukan tulen) sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun suspek berusia lingkungan 30 tahun itu berjaya ditangkap oleh orang awam yang berada berhampiran tempat kejadian lalu menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu jam 9.15 pagi, dua anggota kereta peronda polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang bertugas digerakkan ke lokasi berkenaan.

Katanya, anggota MPV yang bertugas kemudian membuat tangkapan semula ke atas suspek yang diserahkan oleh orang awam bersama-sama barang kes.

“Antara barang kes yang dirampas iaitu sebuah beg galas, tukul besi dan dua utas rantai emas bukan tulen.

“Anggaran kerugian susulan kejadian itu berjumlah RM500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek bukan warganegara tempatan Malaysia dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Ujian air kencing yang dibuat mendapati suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan,” katanya.

Katanya lagi, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau esok untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun prosedur jenayah.

“Polis akan meneruskan siasatan berkaitan dengan kes ini termasuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek merupakan warga asing yang masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – Info X