PENAMPANG: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony berkata, pihaknya tidak pernah berbincang atau merestui tindakan bekas timbalannya, Datuk Juil Nuatim yang mengumumkan keluar dari parti itu, semalam.
Katanya, Juil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau sejak kebelakangan ini tidak pernah menghadiri mesyuarat parti atau bertemu dengan kepimpinan parti.
Beliau berkata, pihaknya telah menjangkakan keputusan Juil itu berikutan tindak-tanduknya sebelum ini, termasuk tidak menghadiri mesyuarat-mesyuarat parti.
“Dakwaan mengatakan beliau (Juil) telah berbincang dengan kami dan mendapat restu tidak pernah berlaku, kami pun terkejut dengan tindakannya (keluar parti) walaupun ada menjangkakannya.
“Kalau kita tengok alasannya keluar parti adalah untuk menyokong kerajaan negeri sedangkan KDM sebelum ini juga telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri.
“Kita tidak tahu apa masalah beliau, kemungkinan berkaitan peruntukan, apapun ia terpulang kepada beliau untuk tentukan halatuju politiknya, kita adalah negara demokrasi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat KDM, di sini, hari ini.
Sementara itu, Peter turut menyangkal dakwaan yang mengatakan jentera kepimpinan KDM di DUN Limbahau akan mengikut jejak Juil keluar parti.
Katanya, beliau sendiri telah bertemu dengan sebahagian kepimpinan tertinggi KDM di Limbahau dan mendapati parti itu masih kukuh di kawasan berkenaan.
“Jentera kepimpinan di Limbahau dibentuk oleh saya dan Juil sebelum ini hanya diletakkan sebagai calon di sana, saya adalah pengasasnnya (KDM di Limbahau),” katanya.
Sementara itu, Peter berkata, KDM akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu ini.
“Ya, saya bersama ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda akan menyokongnya, kerana ini yang dinantikan oleh rakyat untuk kestabilan politik,” katanya. – Info X