Search

RUU Anti Lompat Parti : Warisan sokong tapi mahu teliti dulu

May 22, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pihaknya akan meneliti secara menyeluruh sebelum menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijadual dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, Warisan mengalu-alukan pembentangan RUU itu namun ianya perlu diteliti agar sebarang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang bakal dikuatkuasakan mampu memberi kestabilan politik di Malaysia khususnya di Sabah.

“Kita tidak mahu ada pihak yang mengatakan bahawa Warisan tidak menyokong RUU Anti Lompat Parti…kita mahu perkara itu dilaksanakan secepat mungkin, namun kita mahu tahu dan teliti dahulu apa yang terkandung dalam RUU itu,” katanya pada sidang media, di pejabat parti itu, di sini, hari ini.

Terdahulu semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan Sabah akan membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada persidangan DUN yang bermula hari ini.

Shafie sebelum ini berkata, pihaknya menyatakan cadangan berkaitan RUU Akta Anti Lompat Parti, yang mana cadangan itu bertujuan meminda Perkara 17 Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Perkara 17A dan 17B.

Katanya, penambahan Perkara 17A antara lain membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti politik, iaitu dia hendaklah berhenti menjadi ADUN dan kerusinya menjadi kosong; sekiranya meletak jawatan, dipecat, berhenti, menyertai parti politik lain atau berhenti menjadi ahli parti politik diwakilinya atas apa juga sebab.

“Perkara yang sama juga akan dikenakan kepada calon bebas yang setelah dipilih ke DUN, menyertai parti politik. Seseorang ADUN tidak perlu mengosongkan kerusinya jika partinya dibubarkan atau pendaftaran partinya dibatalkan atau dia meletakkan jawatan apabila dipilih sebagai Speaker,” katanya.

Beliau berkata, penambahan Perkara 17B pula antara lain melibatkan perubahan gabungan parti politik iaitu ADUN hendaklah berhenti menjadi ahlinya dan kerusinya menjadi kosong; sekiranya parti politik diwakilinya itu meninggalkan, dipecat, atau berhenti menjadi ahli gabungan parti politik yang bertanding pada pilihan raya.

Shafie berkata, Speaker DUN Sabah hendaklah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis apabila berlakunya kekosongan kerusi di bawah Perkara-Perkara tersebut, iaitu kekosongan itu hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh penerimaan pemberitahuan.

Katanya lagi, parti politik juga hendaklah meminda perlembagaannya selaras dengan penambahan berkenaan.

Mengenai keperluan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri meluluskan terlebih dahulu sebelum RUU dibentangkan, Shafie berkata, kebiasaannya RUU hanya perlu disembahkan untuk kelulusan selepas ia diputuskan DUN.

Warisan kehilangan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akibat melompat parti sejak Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada 2020 dengan hanya 14 masih kekal bersama parti itu ketika ini termasuk dua bekas ADUN DAP. – Info X