Search

Lelaki guna maklumat palsu mohon kad pengenalan didenda RM10,000

May 22, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu permohonan kad pengenalan, tujuh tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Salleh Akil, 56, membuat pengakuan bersalah mengikut Peraturan 25(1)(b) PPPN 1990 (pindaan 2007).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan sijil lahir nombor daftar TWU8239/91 milik orang lain dan bukan kepunyaan tertuduh untuk mendapatkan dokumen kad pengenalan, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daerah Kunak, jam 1 petang pada 21 Ogos 2016.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Malaysia, Nurul Fariza Abdullah.

Nurul Fariza dalam hujahnya memohon hukuman berat ke atas tertuduh kerana perkara ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan tindakannya telah menyebabkan pemilik sebenar tidak dapat memproses kad pengenalan.

Katanya, perkara ini juga boleh mengganggu keselamatan dan kedaulatan negara sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap tertuduh dan ia boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh didenda sebanyak RM10,000, gagal bayar dipenjara selama 20 hari.

Bagaimanapun, tertuduh bertindak membayar denda berkenaan. – Info X