Search

3 warga Filipina cuba seludup minyak masak diberkas

May 23, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan cubaan tiga lelaki warga Filipina untuk menyeludup 1,190 kilogram minyak masak bersubsidi ke Filipina menerusi perairan laut Tanjung Larapan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, sepasukan anggota PPM Semporna yang menjalankan operasi mengesan pergerakan sebuah perahu yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

Anggota PPM kemudian mengejar dan menahan perahu yang menggunakan dua unit enjin sangkut.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki dewasa bersama 70 kotak minyak masak paket pelbagai jenis dan lapan tong berisi 25 liter petrol disyaki cuba diseludup ke Filipina.

Ketiga-tiga suspek berusia 19, 40 dan 55 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai warga Filipina.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk perahu dan enjin berjumlah RM43,385.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

Katanya, kes dirujuk ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – Info X