KOTA BELUD: Percutian sekumpulan pelancong warga China bertukar tragedi apabila salah seorang lelaki dalam kumpulan terbabit ditemukan lemas di perairan Pulau Mantanani di sini, hari ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang dikenal pasti sebagai Shuwen Liang, 27, mandi bersama keluarga di kawasan perairan berhampiran sebuah resort di pulau berkenaan.
Kakitangan unit keselamatan resort kemudian melihat mangsa dalam keadaan terapung dan segera menyelamatkan mangsa menaiki bot seterusnya membawa mangsa naik ke jeti resort.
Mangsa diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) awal di resort berkenaan sebelum dibawa ke Jeti Rampaian Laut untuk mendapatkan bantuan susulan.
Dalam masa sama, unit keselamatan menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan daripada pihak ambulans dan agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 1.13 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota bergegas ke kawasan jeti yang terletak sejauh 27 kilometer bagi menjalankan operasi penyelamatan.
“Sebaik tiba di Jeti Rampaian terbabit, mangsa diberikan CPR bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi berkenaan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, operasi kemudian ditamatkan jam 2.15 petang. – Info X