KOTA KINABALU: Pasukan Star United muncul juara kejohanan futsal persahabatan anjuran Kesatuan Pekerja Hotel, Resort dan Restoran Sabah (SHRREU) yang berlangsung di Borneo Sport Arena (BSA), Kolombong, di sini, pada Sabtu.
Star United dinobatkan sebagai juara selepas aksi final sengit menentang pasukan jemputan Media Mix Team (MMT) yang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 2-2.
Dalam aksi final berkenaan, Star United dua kali mendahului namun MMT membuktikan yang mereka mampu memberi saingan apabila dua kali menyamakan kedudukan seterusnya mengheret Star United ke penentuan sepakan penalti.
Nasib kemudian lebih memihak kepada Star United apabila menyempurnakan kesemua sepakan penalti mereka manakala MMT gagal menyempurnakan satu sepakan.

Terdahulu, kejohanan yang disertai 10 pasukan itu menyaksikan Star Galaxy muncul pemenang tempat ketiga manakala pasukan Nexus Karambunai sekadar berpuas hati di tempat keempat.
Kejohanan sehari itu turut dihadiri Presiden SHRREU, Mohd Shahbudin Abdullah sebagai perasmi seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang. – Info X