KOTA KINABALU: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori yang sedang melakukan kerja memasang ‘road stud’ Jalan Tuaran, berhampiran RTM lama, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.25 malam itu, mangsa yang berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebelum kejadian, lori terbabit berada di lorong tiga di sebelah kiri dan dipandu oleh seorang lelaki.
Katanya, beberapa pekerja lagi berada di hadapan dan di sebelah kanan lori bagi menjalankan kerja-kerja mengukur serta menebuk jalan untuk memasang ‘road stud’.
“Ketika kesemua pekerja itu sedang menjalankan tugas masing-masing, tiba-tiba kedengaran satu dentuman di bahagian belakang lori.
“Setelah dilihat, didapati mangsa yang datang dari arah Karamunsing menuju ke Tuaran telah terbaring di atas jalan raya bersama motosikal jenis Modenas Kriss yang ditunggangnya, yang terperosok dibawah lori.

“Akibat daripada itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah disahkan meninggal dunia dilokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, kedua-dua kenderaan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya, manakala pemandu dan pekerja lori turut diarah untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, kesemua pihak yang terlibat tidak disyaki berada dibawah pengaruh alkohol, namun, spesimen darah telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X