KOTA KINABALU: Tidak puas hati kerana diputuskan tunang dipercayai motif suspek menikam bekas tunangnya hingga mati dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 21 tahun yang juga pembantu kedai di premis berkenaan ditemui dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan tikaman.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, mangsa telah memutuskan tunang dengan suspek pada dua hari lalu atas alasan peribadi.Bagaimanapun, katanya, suspek dikatakan sering mengganggu mangsa sehingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati diputuskan tunang.
“Mangsa yang merupakan pembantu sebuah kedai ais krim dan ketika kejadian, dia bekerja seorang diri sebelum didatangi suspek yang telah dikenalinya selama setahun.
“Ketika berada di kedai terbabit, suspek dikatakan memujuk mangsa namun mangsa tidak mahu menerima semula bekas tunangnya itu.
“Suspek kemudian bertindak mendekati mangsa dan menikam mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah di lantai berhampiran kaunter juruwang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kalsom berkata, mangsa yang terkena tikaman kemudian berteriak meminta tolong dan kebetulan anggota keselamatan yang terdengar bunyi jeritan telah bergegas ke tempat kejadian.
“Di situ, saksi nampak mangsa terlantar di lantai dan suspek berdiri sebelah mangsa sambil memegang sesuatu yang berlumuran darah.
“Pihak keselamatan kemudian telah menghubungi polis dan suspek kemudian berjaya ditangkap di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota yang tiba lokasi mendapati mangsa dalam keadaan terbaring sebelum menghubungi pihak paramedik.
Katanya, pasukan paramedik yang tiba kira-kira jam 12.50 tengah hari cuba memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun tidak berjaya dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari.
“Selain berjaya menahan suspek, pihak polis juga telah menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk proses bedah siasat manakala suspek kini ditahan untuk proses ditahan reman,” katanya.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Info X