Search

Suami hilang, isteri selamat selepas terjatuh dari bot

June 9, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala isterinya berjaya diselamatkan selepas pasangan terbabit dipercayai terjatuh dari bot di kawasan perairan Sungai Melayu, di sini, pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan kes jatuh laut pada 11.13 pagi.

Katanya, bertindak dengan maklumat itu, Bot Halilintar 7 digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Isteri mangsa yang berjaya diselamatkan oleh nelayan. – Foto/Maritim Malaysia

“Pasukan dari Bot Halilintar 7 yang tiba di lokasi kemudian menemui seorang saksi berusia 55 tahun dari Kampung Sungai Malayu dengan menaiki sebuah bot.

“Saksi memaklumkan suami isteri berada dari Kampung Titingan menaiki bot jongkong yang membawa muatan botol kosong terlanggar sesuatu di perairan berkenaan.

“Akibat kejadian itu, bot hilang kawalan sehingga menyebabkan suami isteri terbabit tercampak ke laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan Maritim Malaysia sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa dikhuatiri lemas di perairan Tawau. – Foto/Maritim Malaysia

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian dikatakan sempat menyelamatkan isteri mangsa.

“Mangsa yang cedera di bahagian kaki dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

“Sehingga kini, seorang lagi mangsa lelaki masih belum ditemui dan operasi SAR giat dijalankan oleh Bot Halilintar 7 dengan bantuan beberapa agensi keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.- Info X