Search

Dua rumah musnah terbakar di Kunak

June 11, 2023

Info X Reporters

KUNAK: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Madai, di sini, malam ini.

Bagaimanapun, insiden terbabit tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.22 malam.

Pasukan bomba memadam kebakaran di Kampung Madai, Kunak. – Foto/JBPM

Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan dua buah rumah jenis tidak kekal.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air dari jentera,” katanya dalam kenyataan media.

Api marak memusnahkan dua buah rumah di Kampung Madai, Kunak. – Foto/JBPM

Menurutnya, kedua-dua rumah berkenaan terbakar sepenuhnya.

“Operasi terkawal pada 10.50 malam dan kerja-kerja pemadaman bara api masih dijalankan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X