Search

Lelaki ragut warga emas ditahan polis

June 12, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ragut beg silang milik lelaki warga emas di Batu 4, Jalan Apas, di sini, berjaya diberkas polis.

Suspek warga tempatan berusia 26 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di tepi jalan Kampung Air, Batu 4, Jalan Apas, jam 11 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan polis turut merampas sekeping kad pengenalan mangsa daripada suspek terbabit.

Polis merampas Kad Pengenalan milik mangsa daripada suspek. – Foto/IPD Tawau

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Sebelum ini, mangsa lelaki warga emas membuat laporan polis mengatakan beg silang miliknya yang mengandungi wang tunai dan beberapa dokumen penting diragut oleh seorang lelaki yang tidak dikenali, pada 24 April lalu.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Jasmin menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membawa sebarang benda atau barang yang berharga ketika berada di tempat awam.

“Kecenderungan mangsa memakai dan mempamerkan barangan berharga secara tidak langsung mendedahkan diri mereka sebagai sasaran peragut.

“Lebih membimbangkan, mangsa juga berpotensi cedera dan kehilangan nyawa sekiranya peragut bertindak agresif,” ujarnya. – Info X