Search

Lelaki disyaki bunuh bekas teman wanita didakwa

June 12, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang dipercayai menikam bekas teman wanitanya hingga mati di sebuah pusat membeli-belah, di sini, didakwa di Mahkamah Majistret, hari ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh Chung King Fung @ Haider Daniel Chung, 32, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Mengikut pertuduhan, Chung didakwa membunuh Nurul Ain Silien, 22, di kedai Polar Ice Cream, Lot B-48, Basement 1, Jesselton Mall, Jalan Haji Saman, di sini, pada 29 Mei, antara jam 12 hingga 12.20 tengah hari.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu atas pertuduhan membunuh bekas teman wanitanya.

Dalam prosiding hari ini, pegawai pendakwa Inspektor Kelvan Elson Maik memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan bedah siasat dari pihak hosital serta laporan data asid deoksiribonukleik (DNA) dan forensik dari Jabatan Kimia.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai untuk sebutan semula kes berkenaan manakala tertuduh akan kekal ditahan kerana tiada ikat jamin dibenarkan untuk pertuduhan ke atasnya.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu peribadi sebuah syarikat binaan antarabangsa diwakili peguam Chin Teck Min manakala Nabila Norsahar hadir sebagai peguam pemerhati kepada mangsa. – Info X