TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas didapati memiliki beberapa senjata tajam di kawasan Kampung Kalumpang, di sini, kelmarin.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan polis daripada Balai Polis Sri Indah (BSI) Tawau yang sedang menjalankan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dilihat sedang merayau menggunakan motosikal dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan polis kemudian menahan dan membuat pemeriksaan ke atas barang yang dibawa oleh suspek.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui beberapa bilah senjata tajam di dalam beg galas yang dibawa oleh suspek.
“Turut ditemui lastik getah dan lima batang senjata jenis ‘flying feather’ di dalam beg berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, suspsk ditahan bersama semua barang kes dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kikisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – Info X