LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dengan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Pulau Tabawan, Kunak, semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, hasil rondaan yang dilakukan, bot peronda Maritim Malaysia menerusi Operasi Pluto Timur mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan, jam 5 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan melakukan kesalahan di
Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).

“Anggota Maritim Malaysia turut menahan dua lelaki berusia 22 dan 38 tahun. Kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kedua-dua suspek serta bot ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, turut dirampas sebuah enjin bot, sebuah kompressor, dan dua botol bom ikan.

Sementara itu, katanya komuniti maritim terutamanya di negeri ini diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti bom ikan.
“Ini kerana aktiviti ini bukan sahaja salah disisi undang-undang laut negara malah membawa kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga membahayakan nyawa pelaku serta mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.
“Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu,” katanya.
Tambahnya, orang ramai khususnya komuniti maritim diminta untuk bekerjasama menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089-885727 atau MERS 999. – Info X