PAPAR: Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Sapat, di sini, petang tadi.
Bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemui di atas tanah tanpa seurat benang dalam keadaan kesejukan oleh pemilik rumah berkenaan yang terdengar tangisan kira-kira jam 4 pagi.
Susulan itu, pemilik rumah iaitu seorang lelaki berusia 52 tahun bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati saksi iaitu pemilik rumah dikatakan hendak ke tandas lalu terdengar suara bayi menangis di bawah kolong rumahnya.
Katanya, selepas hampir 10 minit tangisan bayi itu tidak berhenti, dia beranikan diri untuk turun ke bawah kolong rumah dan mendapati ada satu objek yang bergerak-gerak.
“Dia terus ke arah objek berkenaan dan mendapati ia adalah bayi yang ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang di atas tanah bawah kolong rumahnya.
“Selepas itu, dia memanggil isterinya dan meminta membawa tuala untuk menyelimuti bayi terbabit kerana kesejukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mereka kemudian menghubungi pihak polis dan bayi dihantar ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut.
“Bayi telah diperiksa oleh pegawai perubatan dan didapati bayi dilahirkan cukup sifat dan usia belum sampai 24 jam.
“Bayi terbabit dalam keadaan stabil dan dimasukkan di Wad Kanak-kanak Hospital Papar,” katanya.
Tambahnya, polis sedang giat melakukan usaha untuk kesan suspek terbabit dan pihak Kebajikan Daerah Papar telah dimaklumkan berkenaan kes ini.
“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran bayi yang masih hidup.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan. Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Sarjan Noor Azura Linggisan di talian 016-8262067,” katanya.
Difahamkan, ini adalah kes buang bayi yang ketiga berlaku di Sabah dalam tempoh seminggu. – Info X