Search

Polis Sabah bantu atasi masalah curi air, elektrik

June 14, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah bekerjasama dengan agensi berkaitan berkenaan isu air dan elektrik di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya terbabit dalam kes ini apabila terdapat satu laporan polis dibuat oleh orang awam berkaitan dengan isu air dan elektrik.

“Apabila kita meneliti laporan polis yang dibuat oleh orang awam itu, kita dapati bahawa ada kesalahan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

“Ekoran itu, satu kes siasatan telah dibuka oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berkaitan dengan perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu curi elektrik dan air di Sabah.

Mengulas lanjut, Jauteh berkata, hasil daripada siasatan yang dilaksanakan, adalah perlu polis bersama agensi terbabit untuk membanteras aktiviti yang menyalahi berkaitan dengan dua isu ini iaitu air dan elektrik.

“Ini sebab dua isu air dan elektrik membabitkan perbuatan awam yang tidak bertanggungjawab yang boleh memudaratkan bekalan berkenaan.

“Sebagai contoh, curi air dan juga elektrik, ini merupakan satu perbuatan yang menyebabkan kemudaratan kepada awam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jauteh berkata pihaknya bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya termasuklah tindakan operasi ke atas perbuatan curi air dan elektrik. – Info X