TAWAU: Mahkamah Sesyen, di sini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan ke atas seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur, Oktober lalu.
Jumaidi Abdillah Adi Basar, 40, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Rosli Ahmad apabila dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa berusia lapan di tepi jalan belakang bangunan restoran makanan segera, di sini, kira-kira 8.30 malam, 20 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau boleh dikenakan denda atau dengan sebat atau mana-mana daripada dua seksaan itu, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki. – Info X