PAPAR: Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan terapung dan tersangkut pada dahan pokok di sungai Kampung Sapat, Jalan Mogon, di sini, hari ini.
Mayat mangsa yang tidak sempurna itu ditemui oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan untuk bantuan mengangkat mayat, jam 11.04 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.
“Mayat itu ditemui oleh penduduk kampung tersangkut pada dahan pokok yang berada dalam sungai.
“Pasukan bomba dengan menggunakan bot nelayan kemudian segera mengambil mayat terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat terbabit kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Identiti mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti.
“Operasi ditamatkan pada 12.08 tengah hari,” katanya. – Info X