PITAS: Seorang lagi pelajar di sebuah sekolah menengah, di sini, yang kritikal akibat keracunan metanol selepas dipercayai meminum minuman bercampur spirit meninggal dunia, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, pelajar terbabit berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) pada 4 petang.
Katanya, ini disebabkan kecederaan otak yang teruk (toksikiti serebral) akibat keracunan metanol.
“Mayat tidak perlu dibedah siasat memandangkan sebab kematian telah diperolehi dan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, jumlah kematian adalah dua pelajar yang kritikal sebelum ini.”Tidak ada lagi pelajar yang dirawat di hospital dan semua pelajar (25 pelajar) telah pulang ke asrama.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna dalam kenyataan media, melaporkan seorang daripada pelajar di sebuah sekolah menengah di Pitas, meninggal dunia selepas disyaki keracunan metanol, pada Rabu lalu.
Katanya, pelajar terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) disebabkan kegagalan pelbagai organ.
“Seorang lagi pelajar masih memerlukan bantuan pernafasan di ICU QEH2, manakala seramai 25 pelajar lagi telah discaj daripada rawatan hospital,” katanya.
Terdahulu, pada 9 Jun lalu, seramai 27 pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Pitas dimasukkan ke hospital akibat keracunan metanol selepas dipercayai minum minuman bikarbonat dan cecair spirit hingga menyebabkan keracunan.
Daripada jumlah itu, dua pelajar kritikal dan menerima rawatan di QEH1. – Info X