KOTA KINABALU: Kanak-kanak perempuan maut selepas kereta Proton Saga dinaiki bersama dua individu lain terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Lintas, Taman Khidmat, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia tujuh tahun bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kolombong disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati lori dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dari Tawau menghala ke Penampang.
Katanya, ketika melalui jalan Lintas, pemandu lori itu meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat masih hijau.

“Apabila tiba di satu simpang, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berusia 59 tahun yang berada di susur pusingan U arah bertentangan tiba-tiba keluar menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian tepi kiri Proton Saga berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, Proton Saga terbabas ke bahi kiri jalan, penumpang belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu dan seorang lagi penumpang Proton Saga cedera dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Forensik HQE I untuk tindakan lanjut dan bedah siasat akan dijalankan selepas mendapat keputusan saringan Covid-19.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.41 pagi.
“Terdapat tiga mangsa yang tersepit di dalam kereta Proton Saga dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba. Seterusnya diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian.
“Dua mangsa berusia 15 dan 59 tahun dilaporkan mengalami cedera ringan manakala seorang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. – Info X