Search

Masalah bekalan air semakin teruk, pendapatan rakyat terjejas – Junz Wong

June 20, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, masalah bekalan air yang berlaku di sekitar bandar raya Kota Kinabalu kini semakin teruk sehingga menjejaskan pendapatan rakyat.

Katanya, isu berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu namun ia kini menjadi semakin teruk kerana bukan sahaja menjejaskan pengguna di rumah, malah sumber pendapatan pemilik rumah dan agen-agen hartanah turut terjejas.

“Di Tanjung Aru, penduduk mengadu tentang tentang tekanan air yang rendah sejak tahun lalu, begitu juga di sekitar Kingfisher, Kolombong dan Inanam, seperti Kingfisher Ujana, Kingfisher Raja Udang, Taman BDC, Taman Putera Jaya, Taman Inanam Laut Fasa 2, dan Bandar Sierra.

“Dulu, rumah tiada air, bolehlah kita bersabar, mandi lewat sikit, masak lewat sikit, basuh pinggan pada keesokan hari…kita masih boleh bersabar dan sesuaikan diri.

“Tetapi sekarang, akibat masalah bekalan air yang sangat teruk ini, sumber pendapatan pemilik rumah dan agen-agen hartanah terjejas.

“Saya bagi contoh di Lintas atau Damai, kalaulah sebuah kondo atau rumah teres itu mempunyai masalah air, siapa nak beli rumah atau sewa rumah di Damai?

“Jadi pemilik rumah kehilangan sumber pendapatan sewa. Agen yang bergantung pada komisyen sewa kehilangan punca pendapatan, nilai hartanah pun terjejas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Junz berkata, masalah bekalan air turut menjejaskan para pengusaha industri makanan di bandar raya ini.

“Minggu lalu kedai-kedai di Lintas tiada air, macam mana kedai kopi nak masak? Tak boleh sebab tiada air.

“Tak boleh berniaga maka tiadalah pendapatan, siapa harus dipertanggungjawabkan? Perlukah sampai rakyat menuntut pampasan dari kerajaan?,” soal beliau. – Info X