TUARAN: Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun melecur di bahagian tangan dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Kionsom Baru, di sini, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.24 malam.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran dan dua pancutan dari sumber air tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, terdapat mangsa terbabit dilaporkan melecur lima peratus di bahagian tangan kiri.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan tidak mahu dihantar ke hospital.
“Operasi terkawal pada 7.55 malam dan tamat pada 9.50 malam,” katanya.
Tambahnya, punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran itu masih dalam siasatan. – Info X