Search

Jabatan Hutan Sabah yakin sasaran tanam 40 juta pokok tercapai

June 22, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Jabatan Hutan Negeri Sabah komited dan giat melaksanakan kempen penanaman pokok bagi mencapai sasaran sebanyak 40 juta di negeri ini dalam tempoh 2021 hingga 2025.

Sasaran itu adalah komitmen kerajaan negeri bagi menjayakan kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh Malaysia bagi tempoh lima tahun.

Timbalan Ketua Konservator Hutan (Operasi) Sabah, Musa Salleh berkata, pihaknya yakin sasaran 40 juta pokok ditanam di negeri ini akan menjadi kenyataan.

Katanya, setakat ini lebih 12 juta pokok sudah ditanam di seluruh negeri dengan pembabitan semua pihak termasuk jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta, institusi pendidikan dan individu.

“Kita dapati kempen tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan di negeri ini kerana hampir separuh daripada 40 juta sasaran sudah ditanam.

“Malah, terdapat seorang individu di negeri ini yang sudah membuat penanaman sehingga lebih 500 pokok,” katanya ketika merasmikan projek penanaman 100 juta pokok hutan anjuran bersama Benta Wawasan Sdn Bhd (BWSB), di sini, semalam.

Menurutnya, kempen ini tidak memberikan syarat terhadap mana-mana spesis pokok yang ditanam dan ia mengikut kesesuaian tanah.

Musa berkata, kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kualiti hidup selain usaha untuk menambah baik ekosistem serta biodiversiti negara kita.

“Kempen ini juga bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia.

“Ia juga menunjukkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan BWSB, katanya, syarikat ini antara yang mempunyai komitmen tinggi dalam menyahut kempen berkenaan.

Katanya, bermula kempen ini dilaksanakan pada tahun 2021, syarikat ini lebih awal sudah melaksanakan program penanaman di kawasan 22 hektar iaitu sebanyak 12,335 pokok bagi tahun pertama.

“Saya juga difahamkan syarikat ini mempunyai satu rancangan terperinci, pelan pengurusan hutan, kerja tahunan dan sasaran penanaman pokok,” katanya. – Info X