KOTA KINABALU: Seorang pekerja wanita cedera apabila tangannya tersepit pada mesin membuat kuih di sebuah restoran di Manggatal Plaza, di sini, hari ini.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika wanita berusia 19 tahun yang mengandung sedang mengendalikan mesin itu sebelum tangan kirinya tersepit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.32 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.
“Setiba di lokasi, didapati kejadian benar berlaku dan tangan wanita yang mengandung itu sudah berjaya dikeluarkan oleh rakan sekerjanya.
“Anggota EMRS kemudian memberi rawatan awal dan kecederaan dari bahagian pergelangan tangan kiri hingga ke jari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kota Kinabalu (HWKK) untuk rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pad 3.10 petang,” katanya. – Info X