BELURAN: Anggota bomba terpaksa meredah hutan dengan laluan bukit yang curam sejauh lapan kilometer bagi membantu mengeluarkan seorang lelaki yang meninggal dunia ketika melakukan aktiviti ‘hiking’ dan mengkaji hutan di Borneo Timber Sungai Pinangah, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima laporan jam 6.30 pagi, terdapat seorang lelaki sakit di dalam hutan dan memerlukan bantuan untuk dihantar ke hospital.
Katanya, menurut maklumat pemanggil, mangsa warga Indonesia berusia 24 tahun bersama dua rakannya melakukan aktiviti hiking dan mengkaji hutan namun mengalami sakit badan hingga menyebabkan mangsa tidak mampu meneruskan perjalanan.

“Pasukan bomba kemudian digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 132 kilometer dari balai dan pada 2.25 petang, menerima panggilan daripada rakan mangsa di lokasi memaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.
“Pasukan bomba meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sejauh lapan kilometer dan pasukan bomba tiba di lokasi keberadaan mangsa jam 6.20 petang.
“Sebaik tiba didapati mangsa terbaring di dalam khemah dan dipercayai tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi kemudian diteruskan dengan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan ‘scoop stretcher’ tetapi ditangguh akibat cuaca hujan menyebabkan laluan bukit yang curam menjadi licin serta keadaan yang gelap menyukarkan operasi.
“Operasi mengeluarkan mangsa disambung jam 5 pagi, semalam dengan dibantu pasukan BBP Sook.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis dan mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.
Edoen berkata, menurut ketua operasi, pasukan bomba mengalami kesukaran ketika kerja-kerja mengeluarkan mangsa disebabkan oleh keadaan gelap pada hari pertama tiba di lokasi.
“Ketika itu laluan berbukit yang curam, faktor cuaca hujan dan keberatan mangsa kira-kira 110 kilogram.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada 11.20 malam,” katanya. – Info X