KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, hari ini, menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan ‘Final Award’ timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.
Keputusan itu diumum Anwar Ibrahim, yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Laos bermula semalam, sebelum beliau berlepas pulang.
Anwar menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan penting buat kerajaan Malaysia.
Katanya, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.
“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.
“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya ‘Final Award’ yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut yang berjumlah hampir AS$15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa, dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.
“Malaysia percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada hari ini, bersama-sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan award akhir di negara-negara lain,” katanya.
Anwar berkata, sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara serta kepentingan negara dan kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia Madani
“Kerajaan Malaysia akan meneruskan usaha melalui apa-apa jua cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.
“Kerajaan Malaysia yakin bahawa ia dapat menegakkan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Sekretariat Khas yang juga Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun serta semua kementerian dan agensi berkaitan termasuk peguam antarabangsa serta semua pihak yang terlibat dalam usaha ini. – Info X