KOTA KINABALU: Dua sekeluarga di Kampung Gentisan, Sepanggar, di sini, berdepan detik cemas selepas rumah atas air didiami roboh akibat struktur yang tidak kukuh, awal pagi tadi.
Kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya keluar dari rumah berkenaan sebelum kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.51 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Kejadian membabitkan sebuah rumah roboh akibat struktur rumah yang tidak kukuh.
“Terdapat dua sekeluarga yang berada di dalam rumah berjaya keluar dengan sebelum kejadian dan dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, pasukan Bomba bertindak menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian untuk memastikan tiada lagi unsur bahaya lain.
Katanya, operasi keseluruhan kemudian ditamatkan pada jam 4.03 pagi. – INFO X