Search

Polis Tawau lupus barang rampasan termasuk 19 senjata api, 146 butir peluru

June 28, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melupuskan sejumlah barang rampasan termasuk 19 laras senjata api pelbagai jenis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semua barang yang dilupuskan itu membabitkan 93 kertas siasatan yang dibuka sejak 2017 hingga 2022 atas pelbagai kesalahan.

Jasmin memeriksa senjata api yang dilupuskan. – Foto/PDRM

“Antara barangan rampasan yang dilupuskan termasuklah 19 laras senjata api pelbagai jenis, 146 butir peluru, sejumlah rokok seludup pelbagai jenis.

“Turut dilupuskan iaitu tujuh mesin pencetak, sembilan unit telefon bimbit, dan 10 buah kenderaan pelbagai jenis yang dirampas dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pelupusan barangan ini dilakukan selepas mendapat perintah daripada mahkamah untuk dilupuskan dan lucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Jasmin menunjukkan barangan yang dilupuskan di IPD Tawau. – Foto/PDRM

“Pelupusan itu membabitkan 28 kertas siasatan mengikut Akta Senjatapi 1971, sembilan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan 56 Akta Kastam 1967.

“Semua kes ini sudah selesai siasatan dan sudah dijatuhkan hukuman serta arahan pelupusan dan lucut hak kepada Kerajaan Malaysia daripada Mahkamah,” katanya. – Info X