Search

Lelaki dikhuatiri lemas ketika ingin cuci kaki di sungai

June 29, 2023

Junaidi Ladjana

PAPAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Batu Bandung Daingin, Kimanis, di sini, semalam.

Mangsa Jebenoh Antonny, 31, dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam sungai ketika ingin mencuri kakinya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.17 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis digerakkan ke tempat kejadian.

Pasukan penyelamat yang menjalankan operasi SAR mangsa dikhuatiri lemas di sungai Batu Bandung Daingin, Kimanis.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah pencarian di permukaan atau surface rescue dengan menyusuri tepi sungai berkenaan.

“Operasi pencarian hari pertama yang turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) tidak menemukan sebarang petunjuk sebelum ditunda,” katanya di sini, hari ini.

Anjing unit pengesan (K9) turut serta dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, pencarian hari kedua diteruskan hari ini dengan 14 anggota keseluruhan bersama Unit K9 dan sebuah bot milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seawal jam 8.50 pagi.

“Pencarian dilakukan di sekitar persisiran pantai bersama pasukan penyelamat dengan menggunakan bot.

“Setakat ini, belum ada sebarang penemuan dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X